Thu 14 Jan 2010
7 Tips Pengurusan Masa & Produktiviti daripada Brian Tracy - Tip 1
Posted by Osman Affan under Urus Masa
Tip yang pertama ialah ‘Work harder at what you do’ yang bermaksud bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja yang sedang kita lakukan. Pertama kali saya dengar tip ini, ia berbunyi begitu mudah sekali. Namun apa yang boleh difahami melalui tip ini tidak semudah yang disangkakan. Apabila kita dengar tip ini, kita perlu soal diri kita ‘adakah aku sudah lakukan kerjaku dengan sepenuh hati? Adakah aku bersungguh-sungguh melakukan apa yang perlu aku lakukan? Apabila saya soal diri sendiri soalan ini, kadangkala jawapannya agak memedihkan hati.
Menurut Brian Tracy, tempat kerja bukanlah tempat untuk bersosial. Ia bukan tempat untuk kita datang berbual-bual dengan kawan, bercerita tentang masalah semasa dan mencari simpati. Tempat kerja ialah tempat untuk kita lakukan apa yang telah dipertanggungjawabkan kepada kita. Jika tugas kita adalah untuk menyediakan laporan kewangan, itulah yang perlu kita laksanakan.
Jika kita lihat dengan teliti, tip ini adalah sangat sukar untuk diamalkan oleh kebanyakan orang dewasa yang bekerja tidak kira di jabatan kerajaan, swasta mahupun bekerja sendiri. Maksud saya, apabila kita sedang lakukan sesuatu kerja, tumpuan kita mudah teralih dan terpesong kepada satu perkara yang lain. Akibatnya, kerja yang sedang dilakukan tidak siap, kerja-kerja lain terhenti separuh jalan. Inilah yang dikatakan apa yang dikejar tak dapat, apa yang dikendong berciciran.

Sebagai contoh, di pejabat, sedang menulis laporan, terasa asyik dahaga dan sibuk pergi membuat air. Dalam perjalanan membuat air, terserempak dengan rakan sepejabat lalu buka cerita tentang berita utama surat khabar hari ini. Sedang sibuk berhujah tentang siapa yang patut dipersalahkan dan siapa yang patut dikutuk, seorang sahabat lain pula minta tolong betulkan fail dalam komputer. Sedang hapuskan virus komputer, ada yang buka cerita tentang kos anak-anak ke sekolah. Disebabkan topik ini panas, berapi-apilah bercerita. Setelah habis modal bercerita, baru teringat tentang hendak buat air minuman tadi. Segera pergi ke ‘pantry’. Air belum masak. Tidak mengapa, ’saya ada masa’. Masak air. Sambil tunggu air masak, berbual lagi.

Agaknya, berapa lama masa yang diambil untuk minum air ini? Apabila ini sentiasa berlaku, tidak peliklah jika kerja yang boleh disiapkan selama 10 minit mengambil masa hingga 10 hari.
Ada satu ayat yang biasa disebut oleh Brian Tracy ini mengenai tip ini. Ayat ini bukan sahaja ada dalam buku Focal Point ini malah dalam beberapa buku lain dan juga rakaman audio beliau. Kata beliau, ‘Work all the time you work’. entah kenapa, minat sungguh saya dengan ayat ini. Mungkin saya minat kerana sebelum ini fokus minda saya kerap ke sana ke mari apabila melakukan sesuatu. Jadi apabila saya praktikkan tip ini, terasa banyak perkara yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

Untuk pelajar, tip ini sangat penting kerana pelajar juga menghadapi masalah fokus dalam melakukan sesuatu kerja. Contohnya, sedang buat nota Sejarah, terdengar bunyi SMS. Kawan baik rupanya yang menghantar sms berbunyi, ‘Buat apa tu?’ (mungkin pelajar tidak sedar, ini adalah mesej untuk mengajak mereka berborak-borak tanpa objektif atau tujuan yang jelas.) Adakah balas membalas sms akan berterusan? Sudah tentu.
Jadi, apabila pelajar praktikkan tip ini, semasa buat nota Sejarah, lupakan semua perkara yang lain (kecuali yang wajib dilakukan). Lupakan tentang kerja Matematik dan Sains yang masih belum disentuh dan lupakan tentang cerita kartun yang memanggil-manggil di televisyen. Work all the time you work.
Dengan mengamalkan tip ini, produktiviti kita akan meningkat sekurang-kurangnya 2 kali ganda. Kita akan dapat siapkan lebih banyak kerja daripada orang lain. Bukan itu sahaja, disebabkan kita dapat siapkan banyak kerja dalam masa yang cepat, kita dipandang sebagai seorang yang efisien, cekap, pakar, professional dan boleh diharap. Bukankah ini yang sering dilihat dalam menilai prestasi kerja kita?

Pernah sekali saya mendengar audio ucapan Brian Tracy dalam satu program untuk eksekutif tentang pengurusan masa dan produktiviti. Beliau mengungkap satu pepatah, “if you want to get something done, give it to the busy man.” Apa yang beliau maksudkan ialah orang yang mengamalkan tip pertama ini kelihatan sibuk kerana dia sentiasa kelihatan fokus dalam menyiapkan kerjanya. Namun jika diberi sebarang kerja kepadanya, ia pasti dapat disiapkan dengan sempurna dan cepat.
Percaya atau tidak, ada orang yang takut untuk mengamalkan tip ini. Alasannya ialah jika cepat siap kerja, nanti banyak pula kerja lain yang perlu dibuat.
Ya, itu benar. Namun semakin banyak perkara yang lakukan, semakin bertambah kecekapan dan kepakaran. Hasilnya nilai kita kepada syarikat atau perniagaan akan semakin bertambah. Jika kita masih lagi ragu-ragu untuk mengamalkan tip ini disebabkan bimbang untuk buat kerja lebih banyak, satu soalan yang perlu kita fikirkan ialah “adakah kita sedang menzalimi bos kita/orang yang membayar gaji kita kerana tidak bersungguh-sungguh ‘menghalalkan’ gaji yang kita terima?” Sabda Rasulullah S.A.W. “Takutlah (dari melakukan) kezaliman kerana sesungguhnya kezaliman itu adalah kegelapan (kesengsaraan) di hari akhirat!” (Riwayat Imam Ahmad.)
























January 14th, 2010 at 11:25 pm
Great explanations
easy to understand and also i love the way you delivered your idea.