Mon 18 Jan 2010
7 Tips Pengurusan Masa & Produktiviti daripada Brian Tracy - Tip 2
Posted by Osman Affan under Urus Masa
Tip yang kedua adalah sangat mudah dan ringkas iaitu ‘Work faster’. Di dalam tip ini, ada satu ayat yang sangat menarik digunakan oleh Brian Tracy iaitu ‘develop the sense of urgency’. Ia bermaksud, dalam menjalankan tugas atau melaksanakan sesuatu perkara, wujudkan dan amalkan perasaan untuk siap dengan cepat, pantas dan sempurna.
Untuk melaksanakan tip ini, kita perlu soal diri kita, berapa cepat kita boleh siapkan atau sempurnakan sesuatu kerja? Jika kita menulis blog, berapa cepat kita boleh siap tanpa mengurangkan kualitinya? Adakah kita jenis penulis yang menulis tidak kisah berapa lama pun masa diambil asalkan seronok dan puas hati dengan hasil tulisan? Atau kita jenis yang mementingkan kualiti tetapi dalam masa sama mahu penulisan siap cepat agar dapat meluangkan masa untuk melakukan perkara lain pula?
Tip ini tidak begitu mudah dilaksanakan oleh sesetengah orang disebabkan faktor yang sama dengan tip pertama. Ia tidak mudah dilaksanakan kerana kebanyakan orang atau pekerja bimbang jika mereka cepat menyiapkan sesuatu kerja, mereka perlu lakukan kerja yang lain pula. Akibatnya, lebih banyak kerja mereka perlu lakukan.

Untuk melihat contoh mengapa saya kata ramai yang takut untuk melaksanakan tip ini, cuba bayangkan anda berurusan dengan mana-mana kaunter pembayaran tidak kira di jabatan kerajaan atau swasta atau perniagaan. Apabila anda sedang menunggu giliran untuk berurusan, anda boleh lihat gelagat pekerja di kaunter yang mengamalkan tip ‘bekerja lebih cepat’ atau pekerja yang takut buat kerja banyak.
Pekerja yang mengamalkan tip bekerja cepat, kaunternya sangat cepat bertukar nombor. Setelah selesai menyiapkan sesuatu urusan, pekerja ini akan segera menekan butang untuk pelanggan seterusnya. Malah, butang untuk pelanggan seterusnya telah ditekan walaupun pelanggan sekarang masih berdiri di hadapan kaunter dan bersedia untuk beredar. Hasilnya, lebih banyak pelanggan boleh diuruskan dan pelanggan juga merasa senang hati dengan kepantasan tersebut.
Pekerja yang takut buat kerja banyak pula berlengah-lengah antara satu pelanggan dengan pelanggan yang lain. Dia cuba kelihatan seperti sibuk menyusun itu dan ini padahal kerja itu semua sepatutnya tidak memakan masa yang lama.Lebih buruk lagi (mungkin anda pernah alami sendiri pengalaman sebegini), pekerja ini bergerak ke sana ke mari setiap kali menguruskan satu atau dua pelanggan. Dia kelihatan sibuk bergerak ke sana ke mari padahal tidak ada apa-apa pun yang dilakukan. Jika anda adalah seorang ketua di jabatan ini dan sedar perkara ini mengenai pekerja anda, adakah anda akan labelkan pekerja ini sebagai pekerja yang berpotensi untuk naik pangkat dan berjaya dalam kerjaya satu hari nanti? Tentu tidak bukan?

Sebagai pelajar, sentiasa perbaiki dan majukan tahap kepantasan anda melakukan sesuatu. Jika anda sedang lakukan kerja sekolah Geografi, tumpukan sepenuh perhatian dan cuba siapkan kerja tersebut secepat mungkin. Namun saya ingatkan sekali, siapkan cepat bukan bermaksud kualitinya menurun. Kualiti tetap sama tetapi masa yang diambil jauh berkurangan.
Satu tip yang selalu saya kongsikan bersama pelajar untuk menambah kepantasan dalam melakukan sesuatu kerja ialah
Pertama, tentukan masa yang mahu diambil. Setiap kali melakukan sesuatu aktiviti, sebelum mulakan aktiviti tersebut, tetapkan masa yang mahu diambil. Sebagai contoh, jika mahu baca buku sebanyak 20 muka surat, tetapkan, berapa minit masa yang akan diambil. Jangan letakkan masa yang terlalu panjang. Letakkan masa yang dirasakan agak pendek tetapi boleh dilakukan jika diusahakan sepenuh hati. Kemudian, berlumba untuk capai masa tersebut.- Kedua, duduk, berdiri atau bergerak seperti seorang yang penuh dengan kecergasan. Contohnya begini. Bayangkan anda bermain dengan seorang kawan. Kawan anda ini sedang memegang sebiji telur tembelang yang sangat busuk jika ia pecah. Dia mahu lemparkan telur ini kepada anda dan anda perlu menyambutnya tanpa memecahkan telur tersebut. Ketika dia hendak melemparkan telur ini kepada anda, bayangkan cara anda duduk, berdiri atau bergerak. Adakah anda akan duduk seperti orang mengantuk? Adakah anda akan bergerak seperti orang bangun tidur? Tentu tidak bukan. Anda akan duduk, berdiri dan bergerak seperti orang yang paling cergas dalam dunia. Gunakan pergerakan ini untuk menyiapkan kerja dengan lebih pantas.
Hari ini, tanamkan azam untuk menyiapkan sesuatu dengan lebih pantas tanpa mengurangkan kualitinya. Jika boleh, berjalan lebih laju daripada biasa. Kita akan rasa terkejut dan kagum melihat berapa banyak perkara kita boleh lakukan apabila kita mengamalkan tip ‘Work faster’ ini. Selamat mencuba.
p/s Saya masih ingat lagi ketika saya mengamalkan tip pertama dan kedua ini dalam menghasilkan buku ‘Skor A Dengan Teknik Memori SmartStudy’ (bakal terbit pada Mac 2010 ini). Selalunya satu buku boleh mengambil masa selama 1 bulan hingga 6 bulan untuk siap ditulis tetapi untuk buku terbaru ini, saya mengambil masa lebih kurang 2 minggu sahaja. Itu merupakan satu pencapaian buat diri saya yang agak sibuk menjalankan program-program SmartStudy sepanjang tahun. Manalah tahu kepada anda yang pernah bercita-cita menulis buku, satu buku dapat dihasilkan menjelang akhir bulan ini juga akibat mengamalkan tip pertama dan kedua ini.























