Wed 20 Jan 2010
7 Tips Pengurusan Masa & Produktiviti daripada Brian Tracy - Tip 3
Posted by Osman Affan under Urus Masa
Tip pengurusan masa dan produktiviti daripada Brian Tracy yang ketiga ialah ‘work on higher value activities.’ Maksudnya kita perlu bekerja dan tumpukan lebih perhatian kepada perkara-perkara yang benar-benar menyumbang kepada hasil yang kita inginkan. Ada 2 perkara penting di sini iaitu
- Matlamat (apa yang hendak dicapai)
- Aktiviti yang bernilai tinggi.
Contohnya begini. Katakan tahun ini kita bercita-cita untuk menulis sebuah buku (yang sudah 9 tahun tertangguh). Matlamat utama kita pula ialah menyiapkan buku ini dalam masa 3 bulan. Jadi, untuk mengaplikasikan teknik ini, cuba soal diri kita, apakah aktiviti-aktiviti penting (Aktiviti yang bernilai tinggi) yang menyumbang kepada usaha kita untuk menyiapkan buku ini?
Mungkin kita akan senaraikan beberapa perkara penting untuk menyiapkan buku ini seperti
- Habiskan membaca 5 buku yang telah dibeli berkenaan topik yang bakal kita tulis.
- Minta panduan dan pendapat penulis berpengalaman.
- Belajar dan berlatih cara menulis yang berkesan dan sistematik.
- Luangkan masa sekurang-kurangnya 2 jam sehari untuk menulis.
- Buat kajian tentang pasaran dan pelanggan yang bakal membeli buku kita.
- Sediakan sistem folder teratur di dalam komputer untuk mudah mengesan kemajuan dalam proses penulisan.
- Mula menulis buku itu sekarang!
Pada pendapat anda, adakah apa yang saya senaraikan di atas boleh menyumbang kepada usaha menyiapkan buku tersebut? Saya percaya ia benar-benar boleh menyumbang kepada proses penyiapan buku tadi. Namun antara semua aktiviti di atas, yang manakah lebih menyumbang kepada usaha kita menyiapkan buku tadi?
Menurut pendapat peribadi saya, untuk mencapai matlamat menyiapkan satu buku dalam 3 bulan, 2 aktiviti yang paling penting ialah ‘Mula menulis sekarang’ dan ‘luangkan masa sekurang-kurangnya 2 jam sehari untuk menulis.’ Ini kerana 2 aktiviti ini adalah penyumbang besar ke arah mencapai matlamat tadi. Bayangkan anda luangkan masa yang banyak untuk melakukan semua aktiviti lain tadi, adakah buku itu akan siap jika ia tidak mula ditulis?
Kadangkala, ada bakal penulis buku yang terlalu leka dengan proses untuk menjadi sempurna. Mereka mahu tunggu semuanya jadi sempurna barulah mahu mula menulis. Mereka habiskan lebih banyak masa membersihkan laptop daripada menaip isi kandungan buku. Mereka habiskan lebih banyak masa mengkritik hasil tulisan mereka sendiri daripada menulisnya (Tulis sepatah, kritik sendiri 10 patah).
Semakin banyak mereka bersedia, semakin kurang rasanya persediaan yang ada. Lama-kelamaan mereka bertangguh untuk mula menulis dan akibatnya buku itu langsung tidak ditulis. Apa yang menyedihkan ialah buku itu tidak ditulis bukan kerana tidak cukup bahan, tidak cukup pengalaman atau tidak cukup menarik tetapi kerana ia tidak mula ditulis langsung!
Sebagai pelajar pula, fikirkan tentang aktiviti yang tinggi nilainya untuk membantu kita mencapai matlamat mendapat keputusan yang cemerlang. Ada pelajar yang mahu skor A dalam subjek Matematik lalu buat keputusan untuk duduk membuat latihan Matematik selama 1 jam setiap hari selepas Asar. Namun, dalam masa satu jam itu,
- 10 minit dihabiskan untuk menyusun buku di atas meja,
- 10 minit dihabiskan untuk berfikir tentang topik apa yang hendak dipelajari,
- 10 minit dihabiskan untuk berhenti seketika bagi membancuh air Milo panas (supaya minda segar) dan
- 10 minit dihabiskan untuk menghubungi kawan bertanyakan tentang topik apa yang penting.
Akhirnya, hanya 20 minit yang terakhir dihabiskan untuk benar-benar menjawab beberapa soalan. Apabila gagal mendapat keputusan yang diharapkan dalam peperiksaan, mereka rasa pelik, hairan dan marah. Komen mereka biasanya, “belajar tiap-tiap petang pun tidak ada gunanya, langsung tidak ada hasil. Lebih baik tidak payah belajar!” (Pernahkah anda mendengar komen begini? Atau anda sendiri membuat komen sebegini?)
Hari ini, ada 2 pengajaran penting yang boleh kita ingat daripada tip ketiga ini.
- Mulakan sekarang untuk mencari aktiviti-aktiviti yang bernilai tinggi buat kita dan luangkan lebih banyak masa untuk aktiviti tersebut.
- Jika selama ini kita gagal mencapai matlamat yang diinginkan, cuba kaji jika kita tersilap banyak luangkan masa untuk aktiviti-aktiviti yang bernilai rendah.
Selamat menguruskan masa.























