Wed 17 Feb 2010
Tips yang kelima ialah ‘Bunch your task’. Ia bermaksud kita dicadangkan untuk melakukan beberapa kerja yang hampir sama pada satu masa.
Untuk tips ini, saya hadapi sedikit kesukaran untuk mencari contoh yang sesuai. Namun saya percaya ia ada kaitan dengan tip yang kedua iaitu ‘Work faster’. Dalam penerangan yang diberikan oleh Brian Tracy, beliau satu contoh iaitu semasa kita menulis surat (urusan pejabat), buat juga kerja-kerja yang boleh dilakukan pada waktu yang sama seperti mengisi borang, menyusun sistem fail dan menyediakan kertas kerja.
![]()

Ini bermaksud, semasa melakukan kerja, kita perlu belajar untuk melakukan beberapa kerja (dalam kategori yang hampir sama) dalam satu masa. Apa yang berlaku ialah pada mulanya kita akan rasa sedikit keliru atau pening kerana banyak perkara kita lakukan pada satu masa. Namun adakah anda pernah mengalami situasi di mana anda sedang menulis email, telefon berbunyi dan kawan anda meminta sesuatu. Tanpa berhenti menulis email, anda jawab telefon dan berikan kawan anda tadi apa yang diminta. Ini satu contoh mudah bagaiman tips ini dipraktikkan.
Jika kita bersungguh-sungguh mempraktikkan tip ini, kita akan dapati bahawa kelajuan atau keberkesanan kita dalam melakukan sesuatu akan meningkat. Saya berpengalaman melihat beberapa orang berjaya melakukan beberapa perkara dalam satu masa. Oleh kerana mereka sudah biasa mengamalkan tabiat kerja begitu, banyak kerja yang dapat mereka siapkan dalam satu masa. Minda mereka kelihatan begitu cergas dan kerja-kerja yang mereka lakukan kelihatan mudah utnuk disempurnakan. Hasilnya, kerja siap, kualiti terjaga dan banyak lagi perkara lain yang boleh mereka lakukan.

Sebagai pelajar, berlatih untuk buat sesuatu kerja dengan pantas dan berlatih untuk buat beberapa kerja dalam satu masa. Semasa menunggu ibu bapa membayar harga barangan dapur di pasaraya, anda boleh melihat nota ringkas yang anda bawa dan menghafalnya. Semasa menulis nota, anda boleh sambil-sambil menguruskan dan mengemas tempat belajar agar ia kelihatan kemas dan bersih. Apa yang penting ialah anda sentiasa cuba melakukan lebih banyak perkara dalam masa yang singkat.
Satu pengalaman yang saya ingat hingga kini ialah pengalaman di mana saya bekerja di sebuah restoran milik warga Thailand di United Kingdom. Ini adalah pengalaman semasa saya melanjutkan pelajaran di dalam bidang perakaunan dan kewangan di Plymouth University. Antara tugas utama saya sebagai ‘kitchen boy’ ialah untuk memastikan pingan mangkuk siap dibasuh dan di susun dengan rapi. Bukan itu sahaja, saya mesti melakukannya dengan cepat kerana ketika restiran sibuk, sinki di dapur akan cepat penuh dengan pinggan kotor.
3 minggu pertama saya bekerja, saya asyik dimarahi oleh bos di dapur iaitu tukang masak utama. Namanya Neil, lelaki Thailand berumur lewat 30an, adik kepada tauke besar restoran. Dia asyik mengatakan yang saya bekerja dengan lambat. Katanya saya sangat lambat terutamanya semasa hendak menutup kedai. Fikir saya, mana tidak lambat, begitu banyak benda yang perlu dilakukan!
Namun satu malam, entah mengapa, mungkin dengan ‘mood’ yang baik agaknya, Neil buat keputusan untuk membantu saya menyiapkan kerja di dapur sebelum menutup kedai. Neil tanya saya, “you want to settle the sink or wash the kitchen floor?”

Saya tersengih. Tentulah kitchen floor, fikir saya kerana ia jauh lebih mudah dan cepat. Sudah pasti saya akan siap lebih cepat berbanding dengan Neil jika dia membasuh di sink.
“Kitchen floor,” jawab saya ringkas. Neil tersenyum dan berkata, “OK, do it now.”
Saya hampir-hampir mahu berlari untuk membasuh lantai dapur itu. Bukan mudah untuk saya dapat peluang kalahkan bos di dapur ini. Kalau dia kalah nanti, barulah dia faham kenapa saya lambat.
Sambil-sambil saya menyiapkan air panas untuk mop lantai, saya sangat terkejut melihat cara Neil membasuh di sink. Dia bergerak sungguh pantas, membasuh dan menyusun kuali-kuali dan pinggan-pinggan kotor di sink. Air yang digunakannya juga lebih panas semasa membasuh. Dalam imaginasi saya, saya seperti melihat seseorang yang ada 8 tangan sedang mencuci pinggan dan kuali di sinki. Timbul rasa kagum melihat cara beliau bekerja dan timbul juga rasa malu kerana benarlah kata beliau yang saya bekerja dengan sangat lambat.
Akhirnya, percaya atau tidak, Neil terlebih dahulu siap di sinki. Saya masih lagi terhegeh-hegeh mengeringkan lantai dapur yang telah dibasuh dengan air panas bercampur alat cuci. Mulai hari itu, saya mula berlatih untuk bergerak di dapur lebih pantas. Ia terasa lebih penat tetapi lebih banyak kerja boleh dilakukan. Sambil saya membasuh, saya juga mengasingkan sampah dan menyusun pinggan mangkuk yang sudah bersih di tempatnya. Dalam masa sama, saya sentiasa memasang telinga jika ada apa-apa arahan daripada Neil untuk saya lakukan.
Pengalaman saya ini dirasakan amat tepat dengan tip kedua dan kelima ini. Apabila saya lakukan beberapa kerja pada masa sama, minda saya terasa seperti sedang berlumba. Ia tidak membuat saya leka malah terasa begitu peka terhadap apa yang berlaku. Saya mula meniru gaya bekerja Neil hingga akhirnya saya berjaya mendapat pujian beliau dan beliau mengekalkan saya bekerja di situ sepanjang saya belajar di sana. Insyaallah, ada rezeki, pasti saya akan melawat kembali restoran ini.























April 27th, 2010 at 11:06 pm
tip yg ke6 dan 7,sy xjumpe..